Luqman Hakim adalah seorang genius yang disebut dalam al-Quran. Kisah
beliau diabadikan dalam sebuah surah bernama Luqman, yang mengandungi
34 ayat.
Tuhan memaklumkan dalam ayat 12 surah Luqman,
"Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat
kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya) "Bersyukurlah kepada
Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)."
Apakah itu hikmah? Hikmah sering dikaitkan dengan sifat arif dan
bijaksana. Ia dimiliki oleh orang berilmu, namun tidak semua orang
berilmu memilikinya.
Menurut penulis Ruh al-Bayan, hikmah adalah ketepatan dalam memilih
yang benar dengan lisan, ketepatan dalam berfikir dengan bantuan anggota
badan dan ketepatan bergerak dengan anggota badan. Sekiranya berbicara,
Luqman berbicara dengan hikmah. Sekiranya berfikir, beliau berfikir
dengan hikmah dan sekiranya bergerak, beliau bergerak dengan hikmah
juga.
Ramai orang bertanya kepadanya, "Daripada siapa tuan mempelajari
hikmah?" Jawab Luqman,"Saya mempelajari hikmah daripada orang-orang
bodoh, dan orang-orang bodoh. Saya melihat ada cacat pada diri mereka
lalu saya berusaha menjauhinya."
Thomas Edison adalah seorang inventor yang berjaya mencipta mentol
lampu pada tahun 1879. Sebelum itu 9999 cubaannya tidak berjaya. Namun
kata beliau,"Saya tidak gagal. Saya berjaya menemui 9999 cara yang tidak
menghasilkan mentol lampu." Dalam cubaannya yang ke-10,000 barulah
mentol lampu beliau menyala.
Kata bijak pandai, kehebatan seorang pemikir terletak pada
kemampuannya meneka dengan tepat hasil sesuatu tindakan. Itu adalah
salah satu ciri hikmah. Sebab itulah pemikir yang hebat secara tepat
sentiasa berjaya menghasilkan sesuatu. Bagaimanakah cara kita dapat
meneka secara tepat apa yang akan berlaku? Salah satu caranya ialah
melihat apa yang sudah berjaya dan apa yang tidak.
Namun dalam kes Thomas Edison, didapati ada lebih banyak cara yang tidak betul berbanding cara yang betul, dengan nisbah 9999:1.
Dalam hidup, boleh jadi yang lebih penting ialah berusaha
meninggalkan apa-apa yang tidak betul, bukannya lebih mencuba apa-apa
yang kita sangka betul.
Luqman Hakim menjadi bijak dengan melihat kebodohan pada orang lain
dan kemudian berusaha tidak melakukannya. Beliau sudah melihat sesuatu
yang bodoh, lalu berusaha supaya dirinya tidak mengulang kebodohan itu.
Dalam kes Thomas Edison, beliau juga tidak mengulang kesilapan. Namun
9999 kesilapan itu terpaksa dilaluinya sendiri terlebih dahulu. Boleh
jadi sebelum itu, tiada sesiapa pernah cuba mencipta mentol lampu. Jadi
Thomas Edison tidak dapat belajar daripada kesilapan orang itu. (Boleh
jadi juga sebelum itu kitab cara-cara mencipta mentol lampu sudah ada,
namun telah dibakar oleh orang-orang Mongol).
Apapun, Thomas Edison terpaksa menghabiskan masanya bagi melalui 9999
kesilapan sambil berusaha tidak mengulang 9999 kesilapannya sendiri
itu. Sehinggalah pada suatu hari beliau berjaya menemui satu cara yang
betul. Nasib baik usianya panjang. Beliau berjaya menyudahkan 10,000
eksperimen.
Nasib kita mungkin tidak sebaik Thomas. Boleh jadi tempoh usia kita
tidak panjang. Maut sentiasa mengikut kita di belakang. Setiap hari ia
semakin dekat. Masa kita semakin kurang, jadi kita perlu bijak
memanfaatkan apa yang sedikit.
Meneladani Luqman Hakim, genius yang disebut dalam al-Quran, lebih
baik kita belajar daripada orang, dengan tidak mengulanginya kebodohan
mereka. Jangan juga kita jadi seperti Thomas Edison yang terpaksa
belajar daripada kesilapannya sendiri.
Pada pendapat saya, boleh jadi itu antara kebaikannya alim ulamak
menasihatkan kita supaya berguru dengan orang. Tidak cukup hanya berguru
dengan buku.
Manusia itu sentiasa belajar. Guru yang terbaik sudah tentulah orang
yang bijaksana dan berhikmah. Kerana mereka sentiasa belajar daripada
kesilapan orang dan kesilapan mereka sendiri.
-
Artikel iluvislam.com