Tuhan memaklumkan dalam ayat 12 surah Luqman,
"Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya) "Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)."
Apakah itu hikmah? Hikmah sering dikaitkan dengan sifat arif dan bijaksana. Ia dimiliki oleh orang berilmu, namun tidak semua orang berilmu memilikinya.
Menurut penulis Ruh al-Bayan, hikmah adalah ketepatan dalam memilih yang benar dengan lisan, ketepatan dalam berfikir dengan bantuan anggota badan dan ketepatan bergerak dengan anggota badan. Sekiranya berbicara, Luqman berbicara dengan hikmah. Sekiranya berfikir, beliau berfikir dengan hikmah dan sekiranya bergerak, beliau bergerak dengan hikmah juga.
Ramai orang bertanya kepadanya, "Daripada siapa tuan mempelajari hikmah?" Jawab Luqman,"Saya mempelajari hikmah daripada orang-orang bodoh, dan orang-orang bodoh. Saya melihat ada cacat pada diri mereka lalu saya berusaha menjauhinya."
Thomas Edison adalah seorang inventor yang berjaya mencipta mentol lampu pada tahun 1879. Sebelum itu 9999 cubaannya tidak berjaya. Namun kata beliau,"Saya tidak gagal. Saya berjaya menemui 9999 cara yang tidak menghasilkan mentol lampu." Dalam cubaannya yang ke-10,000 barulah mentol lampu beliau menyala.
Namun dalam kes Thomas Edison, didapati ada lebih banyak cara yang tidak betul berbanding cara yang betul, dengan nisbah 9999:1.
Dalam hidup, boleh jadi yang lebih penting ialah berusaha meninggalkan apa-apa yang tidak betul, bukannya lebih mencuba apa-apa yang kita sangka betul.
Luqman Hakim menjadi bijak dengan melihat kebodohan pada orang lain dan kemudian berusaha tidak melakukannya. Beliau sudah melihat sesuatu yang bodoh, lalu berusaha supaya dirinya tidak mengulang kebodohan itu.
Dalam kes Thomas Edison, beliau juga tidak mengulang kesilapan. Namun 9999 kesilapan itu terpaksa dilaluinya sendiri terlebih dahulu. Boleh jadi sebelum itu, tiada sesiapa pernah cuba mencipta mentol lampu. Jadi Thomas Edison tidak dapat belajar daripada kesilapan orang itu. (Boleh jadi juga sebelum itu kitab cara-cara mencipta mentol lampu sudah ada, namun telah dibakar oleh orang-orang Mongol).
Apapun, Thomas Edison terpaksa menghabiskan masanya bagi melalui 9999 kesilapan sambil berusaha tidak mengulang 9999 kesilapannya sendiri itu. Sehinggalah pada suatu hari beliau berjaya menemui satu cara yang betul. Nasib baik usianya panjang. Beliau berjaya menyudahkan 10,000 eksperimen.
Nasib kita mungkin tidak sebaik Thomas. Boleh jadi tempoh usia kita tidak panjang. Maut sentiasa mengikut kita di belakang. Setiap hari ia semakin dekat. Masa kita semakin kurang, jadi kita perlu bijak memanfaatkan apa yang sedikit.
Meneladani Luqman Hakim, genius yang disebut dalam al-Quran, lebih baik kita belajar daripada orang, dengan tidak mengulanginya kebodohan mereka. Jangan juga kita jadi seperti Thomas Edison yang terpaksa belajar daripada kesilapannya sendiri.
Pada pendapat saya, boleh jadi itu antara kebaikannya alim ulamak menasihatkan kita supaya berguru dengan orang. Tidak cukup hanya berguru dengan buku.
Manusia itu sentiasa belajar. Guru yang terbaik sudah tentulah orang yang bijaksana dan berhikmah. Kerana mereka sentiasa belajar daripada kesilapan orang dan kesilapan mereka sendiri.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment